Di Kampung Musa terdapat kepelbagaian variasi makanan dan minuman yang boleh didapati, misalnya :

 

1.  Pisang Awak dan Pisang Nangka

 

            Kedua-dua jenis pisang ini telah di usahakan oleh saudara Mohd Sabri Bin Abd Rahman. Tanaman pisang yang diusahakannya ini mendapat sambutan orang ramai kerana harga jualannya yang murah dan berpatutan iaitu sekilo Rm3.00 sahaja.  

 

            Lazimnya, apabila adanya kenduri-kendara yang dijalankan di sekitar kampung-kampung berdekatan ramai yang akan mengambil pisang yang diusahakan olehnya sebagai salah satu menu pencuci mulut.  Selain itu, pisang ini juga akan dihantar ke pejabat FAMA untuk dipasarkan dengan lebih meluas.

 

 

2. Durian Kampung

 

            Durian kampung sangat digemari oleh  orang kampung dan juga pengunjung luar yang datang ketika musimnya tiba. Lazimnya, durian kampung boleh di dapati di kawasan ini sekitar bulan Jun dan Julai. Pada masa ini banyak peniaga akan membeli buah durian terus dari tuan dusun kemudian mereka akan menjualnnya di kawasan bandar atau ke negeri lain.

 

            Buah durian juga dapat dipelbagaikan menunya seperti pulut durian, pengat durian, durian crepe, kuih durian serta cendol pulut durian. Durian di sekitar ini mempunyai pelbagai jenis kualiti isi dan warnanya seperti isi yang berwarna kekuningan dan ada juga isinya yang berwarna putih.

 

3. Kedai Makan

            Di sini mempunyai sebuah gerai makan yang agak popular dalam kalangan penduduk setempat dan pengunjung luar. Menu yabg di sediakan menepati citarasa pengunjung. Antara menu yang popular di kedai makan Pak Su Safri ialah laksa, laksam, dan abc. Kedai makan ini dibuka dari jam 7 pagi sehingga 7 petang. Pada awal pagi menu yang di sediakan adalah nasi lemak yang di buat sendiri oleh dia dan isterinya.

4. Lepat Bunga Cica

             Di kawasan Pedu ini juga terkenal dengan juadah yang berasaskan bunga iaitu dikenali sebagai Lepat Bunga Cica. Bunga ini hanya ada sekali sahaja untuk setahun. Bunga ini akan mula gugur pada sekitar bulan Februari iaitu ketika musim luruh. Penduduk akan beramai-ramai mengutip bunga ini di waktu pagi sahaja kerana ianya hanya ada pada waktu pagi. Setelah itu, bunga akan dibersihkan untuk membuang sampah atau rumput yang melekat ketika ianya jatuh ke tanah. Bunga yang telah dibersihkan akan dicuci dan dijemur di bawah cahaya panas. Setelah kering, ianya akan dijadikan lepat yang diadun bersama tepung beras dan santan dan dibungkus di dalam daun pisang seterusnya dikukus sehingga masak. Juadah tersebut sangatlah unik dan sedap untuk dinikmati.